free tracking




≡ Menu

Al-Quran Al-Karim Mendidik Ummah

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

Ta’rif al-Quran

Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis dalam beberapa naskhah mashaf dan dipindahkan daripada baginda SAW dengan riwayat yang mutawatir. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.

Hubungan al-Quran dan as-Sunnah

Kebanyakan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.

Al-Imam Al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya:

“Ketika wahyu turun kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah SAW samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah SWT jua.

Allah SWT telah berfirman:

“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” (an-Najm: ayat 3-4)

Kehidupan Rasulullah SAW adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya:

“Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran.”

Sumber pembentukan ummah

Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah SAW adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.

Rasulullah SAW adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti ataupun arahan-arahan.

Didikan al-Quran serta natijahnya

Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu-padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan oleh Allah SWT) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.” (‘Ali Imran: ayat 110)

Proses pembentukan adalah Iradah Allah SWT

Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiyyah Rasulullah SAW berdasarkan wahyu Allah SWT. Tarbiyyah Rasulullah S.A.W. berjalan selama 23 tahun – 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.

Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah SWT. Jika Allah SWT mahu, Allah SWT boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah SWT tidak sedemikian. Allah SWT menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Quran yang beransur-ansur. Allah SWT menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.

Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah SWT untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah SWT yang tidak boleh dipandang sepi.

Firman Allah SWT:

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (al-Isra’ : ayat 106)

Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah SWT dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.

Kemuncak natijah

Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Quran telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah SWT semata-mata.

Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah sesuatu yang tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah SWT.

Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah SAW ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah SWT dan Rasulullah SAW.

  • Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==

Perhatikanlah sikap Mu’az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah SAW ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud, “Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?” Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah SAW.” Baginda bertanya lagi, “ Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?” Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan.” Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Alhamdulillah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah SAW mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah SAW.”

Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah SAW adalah syari’at Allah SWT sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.

At-Tasyri’ al-Kamil

At-Tasyri’ al-Kamil membawa maksud suatu perundangan yang telah sempurna disyariatkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

hari ini (hari ‘Arafah, 10 Hijrah) Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku ke atas kamu dan Aku redha Islam sebagai Din kamu.” (al-Maidah: ayat 3)

Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur melalui dua tahap, iaitu Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Kewujudan tahap-tahap itu menunjukkan adanya pemeringkatan syari’at mulai awal kerasulan Rasulullah SAW hingga saat hampir kewafatan baginda.

Syari’at Islam kini telah lengkap dan sempurna. Oleh itu dalam konteks pembangunan semula Ummah Islamiyyah kini, syari’at itu tidak boleh dibataskan berasaskan Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Hukum-hukum dan undang-undang Islam sudah lengkap dan sempurna dengan tamatnya wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Perlaksanaan syari’at dalam jama’ah kini

Bagaimanakah syari’at Islam yang lengkap hendak dilaksanakan oleh jama’ah Islam dalam suasana atau realiti kini ? Iaitu realiti yang tidak membolehkan jama’ah melaksanakan semua tuntutan syari’at Islam.

Dalam hal ini, perlaksanaannya adalah terhenti kepada suasana kelemahan (ad-Da’if) dan suasana kekuatan (al-Quwwah) jama’ah atau Ummah Islamiyyah yang dibentuk. Suasana kelemahan umat Islam yang tidak melaksanakan semua tuntutan syari’at mengharuskan jama’ah Islam mengambil Rukhsah dalam ertikata melaksanakan tuntutan syari’at sekadar kemampuan yang dimiliki oleh jama’ah. Namun penentuan mampu atau tidak mampu itu adalah di bawah tanggungjawab barisan kepimpinan (as-Saf al-Qiyadi) yang mengendalikan jama’ah Islam.

Bagaimanapun jama’ah Islam tidak boleh berpuas hati dengan mengambil rukhsah selama-lamanya. Bahkan sewajibnya kemampuan jama’ah Islam itu dipertingkatkan kerana matlamat besarnya ialah untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Khilafah dalam pengertian mengurus semua urusan dan memimpin semua makhluk berpandukan syari’at Islam serta melaksanakan semua tuntutan syara’ demi keredhaan Allah SWT.

Jama’ah adalah ‘jalan’

Jama’ah adalah ‘jalan’ yang mesti dilalui untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Oleh itu pembentukannya adalah wajib. Tahap kekuatan (al-Quwwah) jama’ah Islam perlu ditingkatkan sehingga ia boleh mengambil ‘azimah, bukan rukhsah. Yakni ‘azimah dalam melaksanakan semua hukum yang dituntut oleh syari’at Islam, kecuali dalam keadaan dharurah yang datang kemudian.

Khilafah merupakan natijah (hasil) daripada pembentukan jama’ah atau ummah yang berasaskan didikan iman. Inilah sunnah Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Allah menjadikan bagi orang-orang yang beriman antara kamu serta melaksanakan amalan-amalan yang saleh bahawa mereka akan menjadi khalifah di muka bumi sebagai mana orang-orang terdahulu telah menjadi khalifah. Juga Allah telah menetapkan Din mereka yang Allah telah redha bagi mereka dan Allah akan tukarkan suasana ketakutan dengan keamanan; mereka memperhambakan diri kepada Aku (Allah) tanpa syirik sedikitpun dengan Aku. Barang siapa yang kufur selepas itu maka mereka itu sebenarnya orang-orang yang fasiq.” (an-Nur: ayat 55)

Allah Tertinggi

Khilafah yang dimaksudkan oleh Islam bukanlah orang perseorangan, keluarga atau kelas-kelas tertentu, tetapi Jama’ah Ummah yang ada kepimpinan. Setiap anggotanya pula yakin dan menyerah kepada peraturan-peraturan yang Allah SWT turunkan. Khalifah pula bertanggungjawab mengurus daulah dan semua urusan berdasarkan syari’at Allah SWT.

Khalifah adalah wakil Allah SWT di bumi, bukannya penggubal undang-undang berdasarkan kehendak sendiri. Sesungguhnya Pencipta undang-undang hanyalah Allah SWT.

Hukum-hukum Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah hukum-hukum tertinggi. Orang-orang mu’min tiada pilihan lain melainkan mematuhinya. Tiada sebarang hak bagi seseorang muslim atau mu’min untuk membuat hukum sendiri dalam perkara-perkara yang telah ditentukan Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sebarang penyelewengan daripada hukum Allah SWT dan Rasul-Nya adalah berlawanan dengan aqidah atau iman.

Firman Allah SWT:

“Apabila Allah dan Rasul-Nya menghukum mengenai sesuatu urusan maka tidak boleh lagi bagi orang-orang mu’min lelaki dan perempuan memilih berbuat mengikut kemahuannya. Barang siapa yang durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia benar-benar sesat.” (al-Ahzab: ayat 36)

“Mereka berkata, “Kami telah beriman dengan Allah dan Rasul dan kami telah taat”, kemudian satu puak di kalangan mereka berpaling lagi selepas itu, maka mereka bukan lagi orang mu’min. Apabila mereka diajak kepada hukum Allah dan Rasulnya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka tiba-tiba satu puak daripada mereka enggan menurutnya.” (an-Nur: ayat 47-48)

“Sesungguhnya perkataan orang-orang yang beriman itu apabila diajak kepada hukum Allah dan Rasul-Nya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka, mereka berkata: “Kami dengar dan kami patuh” dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (an-Nur: ayat 51 )

 

Wallahu’alam….

Comments on this entry are closed.