free tracking




≡ Menu

Wudhu’ Ketika Sakit

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

PRAKTIKAL MENYEMPURNAKAN WUDHU’ KETIKA SAKIT

PENDAHULUAN

Mengangkat hadas, sama ada hadas kecil atau hadas besar, merupakan cara bersuci bagi membolehkan seseorang itu melakukan ibadat.

Mengambil wudhu’ merupakan tuntutan yang wajib bagi orang yang berhadas kecil yang hendak mendirikan sembahyang, mengerjakan thawaf, menyentuh atau membawa mushaf dan sebagainya.

Namun dalam keadaan tertentu, adakalanya seseorang itu tidak dapat berwudhu’ dengan cara biasa disebabkan mempunyai keuzuran atau penyakit di tempat-tempat tertentu pada anggotanya seperti mengidap penyakit kulit, luka, terdapat jarum yang dipasang untuk menyalurkan ubat (drip) dan seumpamanya, yang boleh memudaratkan jika dia menggunakan air bagi membasuh anggotanya itu, sedangkan ianya wajib dibasuh ketika mengambil wudhu’.

Justeru itu, kertas kerja ini akan mengutarakan perbincangan cara-cara orang yang menghadapi masalah seperti ini mengambil wudhu’. Skop perbincangannya akan memfokuskan kepada pandangan mazhab Syafi‘e sebagai mazhab yang menjadi pegangan dan ikutan umat Islam di negara ini. Di samping itu juga akan cuba melihat pandangan mazhab Maliki yang mungkin boleh menjadi alternatif untuk menghadapi situasi yang dihadapi.

Keadaan-Keadaan Anggota Yang Sakit

Sebelum perbincangan ini melangkah lebih jauh adalah elok rasanya dijelaskan bahawa anggota yang ditimpa sakit atau keuzuran seperti yang disebutkan di atas

keadaannya adalah berbeza-beza seperti berikut:

1. Adakala nya ia dibalut dengan sesuatu seperti dibalut dengan kain, plaster, simen atau seumpamanya dan ditakuti akan mendatangkan mudarat jika dibuka balutan tersebut.

2. Adakalanya anggota yang sakit itu dibalut dengan sesuatu tetapi tidak mendatangkan mudarat jika dibuka balutan tersebut.

3. Adakalanya juga anggota tersebut tidak dibalut dengan sesuatu. Daripada ketiga-tiga keadaan ini, para ulama mazhab Syafi‘e dan mazhab Maliki masing-masing mempunyai pandangan mereka yang tersendiri tentang cara penyempurnaan wudhu’ dalam konteks yang telah disebutkan.

PANDANGAN MAZHAB SYAFI‘E

1) Anggota Sakit Yang Berbalut

Menurut pandangan mazhab Syafi‘e, jika sekiranya anggota seseorang yang sakit itu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan ditakuti akan memudaratkannya jika dibuka balutan tersebut, maka dalam hal ini wajib dia melakukan tiga perkara seperti berikut:

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit,termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan membasuh bahagian anggota-anggota lain yang tidak sakit.

Apa yang perlu dilakukan ketika membasuh bahagian anggota tersebut hendaklah berhati-hati, jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit.

2. Menyapu semua balutan yang membalut anggota yang sakit dengan air, iaitu sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit yang ditutup oleh pembalut.

Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya terdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang tertutup oleh pembalut, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air. Oleh sebab tertib merupakan di antara rukun wudhu’ dalam mazhab Syafi‘e, maka apabila tiba masa untuk membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah disapu balutan tersebut dengan air. Umpamanya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dibasuh muka terlebih dahulu, kemudian dibasuh bahagian tangan yang tidak sakit dan selepas itu barulah disapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki.

3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan untuk anggota yang berbalut yang tidak boleh terkena air iaitu sebagai gantinya.

Jika sekiranya anggota yang sakit atau luka itu terdapat di bahagian anggota tayammum tidaklah dituntut melalukan debu tanah pada bahagian tersebut.

Waktu melakukannya ialah apabila tiba masa membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah dia bertayammum kerana memelihara tertib wudhu’.

Oleh itu, jika terdapat luka yang berplaster pada muka, maka hendaklah bertayammum terlebih dahulu sebelum membasuh dua tangan. Ataupun luka tersebut terdapat pada tangan, maka hendaklah bertayammum terlebih dahulu sebelum menyapu kepala dan begitulah seterusnya.

Apabila terdapat dua anggota sakit yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota maka diwajibkan juga tiga tayammum, dan jika empat anggota maka diwajibkan juga empat tayammum, jika penyakit yang tidak boleh terkena air itu tidak terdapat pada keseluruhan anggota wudhu’, hanya yang tertentu sahaja, kecuali kepala. Umpamanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kepala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.

Akan tetapi jika keempat-empat anggota wudhu’; seluruh muka, seluruh dua belah tangan, seluruh kepala dan seluruh dua belah kaki, semuanya sakit tidak boleh terkena air, maka memadailah dengan satu tayammum sahaja. Demikian juga, jika penyakit itu terdapat pada seluruh dua anggota yang berturut-turut, seperti muka dan dua belah tangan, ataupun kepala dan dua belah kaki, maka memadailah dengan satu tayammum bagi tiap-tiap dua anggota yang berturut-turut tersebut.

2) Anggota Sakit Yang Berbalut Yang Boleh Dibuka Atau Yang Tidak Berbalut

Jika sekiranya anggota seseorang yang sakit itu dibalut dengan sesuatu dan tidak memudaratkan jika dibuka balutan tersebut, ataupun anggota tersebut tidak dibalut dengan sesuatu, maka dalam hal ini wajiblah dia melakukan dua perkara seperti berikut:

1. Membasuh bahagian yang tidak sakit atau luka daripada bahagian anggota tersebut. Begitu juga di bahagian anggota-anggota lain yang tidak sakit.

Apa yang mesti dilakukan ketika membasuh bahagian anggota yang tidak sakit itu, hendaklah dia berhati-hati jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit, iaitu dengan cara meletakkan sehelai kain atau tuala yang basah di tepi bahagian yang kena sakit. Dengan titisantitisan air daripada kain atau tuala tersebut akan terbasuhlah bahagian yang tidak sakit yang berada di tepi anggota yang sakit. Jika tidak mampu untuk melakukannya sendiri bolehlah dia meminta bantuan daripada orang lain. Tidak diwajibkan menyapu dengan air pada bahagian yang sakit seperti luka, walaupun tidak memudaratkan jika disapu padanya. Akan tetapi disunatkan sahaja jika mahu melakukannya.

2. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan iaitu sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka yang tidak boleh terkena air, sungguhpun anggota yang sakit atau luka tersebut bukan pada anggota tayammum.

Jika sekiranya anggota yang sakit atau luka itu terdapat di bahagian anggota tayammum wajiblah melalukan debu tanah pada bahagian tersebut jika tidak memudaratkan ketika bertayammum.

Waktu melakukannya ialah apabila tiba masa membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah dia bertayammum, kerana memelihara tertib. Hendaklah melakukan beberapa kali tayammum jika bahagian yang sakit atau luka itu melibatkan beberapa anggota wudhu’, itu pun jika sekiranya penyakit atau luka itu tidak terkena pada setiap satu anggota tersebut, sama seperti yang diterangkan terdahulu.

Akan tetapi jika keempat-empat anggota wudhu’, semuanya sakit tidak boleh terkena air, maka memadailah dengan satu tayammum sahaja. Sama halnya, jika penyakit itu terdapat pada seluruh dua anggota yang berturutturut, maka memadailah dengan satu tayammum bagi setiap dua anggota tersebut, sama seperti yang diterangkan terdahulu.

Rukun Dan Syarat Tayammum Yang Berkaitan

Oleh sebab cara bersuci di atas melibatkan tayammum elok rasanya dijelaskan rukun-rukun dan syarat-syarat tayammum yang berkaitan dengan konteks perbincangan kertas kerja ini. Ini memandangkan kemungkinan tayammum adalah suatu perkara yang asing atau tidak biasa atau tidak pernah dipraktikkan bagi setengah orang berbanding dengan perkara wudhu’.

Rukun Tayammum

1. Memindahkan debu ke anggota tayammum.

2. Niat. Hendaklah berniat tayammum ketika memindahkan debu untuk menyapu muka, dan niat itu hendaklah berkekalan sehingga terhasil sedikit sapuan debu pada muka.

Terdapat tiga peringkat jenis niat tayammum, seperti berikut:

i. Niat tayammum untuk mengharuskan sembahyang fardhu, niat tayammum untuk mengharuskan tawaf fardhu dan niat tayammum untuk mengharuskan khutbah Jumaat.

Contoh niat bagi peringkat ini:

“نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لاِسْتِبَاحَةِ َفرْضِ الصَّلاة / َفرْضِ الطَّوَافِ / خُطْبَةِ الْجُمُعَةِ”

Ertinya: “Sahaja aku bertayammum untuk mengharuskan sembahyang fardhu / tawaf fardhu / khutbah Jumaat.”

ii. Niat tayammum untuk mengharuskan sembahyang sunat, niat tayammum untuk mengharuskan tawaf sunat, niat tayammum untuk mengharuskan sembahyang dan niat tayammum untuk mengharuskan sembahyang jenazah.

Contoh niat bagi peringkat ini:

“نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لاِسْتِبَاحَةِ نَفْلِ الصَّلاة / نَفْلِ الطَّوَافِ / الصَّلاة / صَلاةِ الْجَنَازَة”

Ertinya: “Sahaja aku bertayammum untuk mengharuskan sembahyang sunat / tawaf sunat / sembahyang / sembahyang jenazah.”

iii. Niat tayammum untuk mengharuskan selain apa yang disebutkan di atas, seperti niat tayammum untuk mengharuskan menyentuh atau membawa mushaf dan sebagainya.

niat bagi peringkat ini:

نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لاِسْتِبَاحَةِ مَسِّ اْلمُصْحَف / حَمْلِ اْلمُصْحَف

Ertinya: “Sahaja aku bertayammum untuk mengharuskan menyentuh mushaf / membawa mushaf.”

Apabila seseorang itu berniat tayammum sebagaimana yang disebutkan pada peringkat (i), maka dia boleh melakukan sekali ibadat fardhu sahaja, sama ada melakukan ibadat fardhu yang diniatkannya ataupun ibadat fardhu yang lain. Umpamanya dia berniat tayammum untuk mengharuskan sembahyang fardhu, akan tetapi dia melakukan ibadat tawaf fardhu dengan tayammum tersebut, maka hukumnya adalah harus dan sah ibadat tawafnya.

Di samping itu dia juga boleh melakukan ibadat-ibadat sunat yang disebutkan pada peringkat (ii) dan (iii) walaupun dengan berulang-ulang. Jika dia berniat tayammum sebagaimana yang disebutkan pada peringkat (ii), maka dia boleh melakukan ibadat-ibadat sunat tersebut dan juga ibadat-ibadat sunat yang disebutkan pada peringkat (iii) walaupun dengan berulang-ulang. Akan tetapi dia tidak boleh melakukan ibadat fardhu dengan tayammum tersebut.

Jika dia berniat tayammum sebagaimana yang disebutkan pada peringkat (iii), maka dia boleh melakukan ibadat-ibadat sunat tersebut walaupun dengan berulang-ulang. Akan tetapi dia tidak boleh melakukan ibadat fardhu dan juga ibadat-ibadat sunat yang disebutkan pada peringkat (ii) dengan tayammum tersebut.

3. Menyapu seluruh muka termasuk di atas hidung, di hadapan hidung dan lain-lain kawasan muka.

4. Menyapu dua tangan hingga ke siku.

5. Tertib. Iaitu didahulukan menyapu muka, kemudian menyapu dua tangan hingga ke siku.

Syarat-syarat Tayammum

Para ulama dalam mazhab Syafi‘e di dalam kitab-kitab mereka berbeza-beza dalam menyebutkan syarat-syarat tayammum. Berikut beberapa syarat yang dapat dikumpulkan melalui kitab-kitab berkenaan:

1. Islam.

2. Mumayyiz.

3. Terdapat kekhuatiran atau ketakutan jika menggunakan air akan mendatangkan mudarat.

4. Perbuatan memindahkan debu ke anggota-anggota tayammum hendaklah tidak kurang daripada dua kali. Yang afdhalnya ialah sebanyak dua kali. Makruh hukumnya memindahkan debu ke anggota-anggota tayammum melebihi dua kali jika debu tersebut dapat diratakan ke seluruh anggotaanggota tayammum dengan dua kali pemindahan debu. Jika debu tidak dapat diratakan ke seluruh anggota-anggota tayammum dengan dua kali pemindahan tersebut, maka hendaklah ditambah perbuatan memindahkan debu itu.

5. Tidak terdapat sesuatu yang menghalang debu tayammum itu daripada sampai ke anggota-anggota tayammum. Oleh itu jika seseorang itu memakai cicin di jari tangannya, maka hendaklah ianya ditanggalkan supaya tidak menghalang debu tayammum daripada sampai ke tangannya.

6. Hendaklah dibersihkan terlebih dahulu segala najis yang terdapat pada badan orang yang bertayammum itu sebelum dia melakukan tayammum.

7. Masuk waktu ibadat yang hendak dilakukannya dengan tayammum tersebut, sama ada ibadat sunat ataupun ibadat fardhu. Ini kerana, tayammum merupakan cara bersuci (thaharah) yang dilakukan kerana darurat, dan tidak dikatakan sebagai darurat sebelum masuk waktu.

Sebagai contoh, tidak sah tayammum seorang yang hendak menunaikan sembahyang fardhu Zuhur jika dia bertayammum sebelum masuk waktu sembahyang fardhu Zuhur.

Sebagai contoh lagi, tidak sah tayammum seorang yang hendak menunaikan sembahyang sunat Dhuha jika dia bertayammum sebelum masuk waktu dhuha. Tidak sah tayammum seorang yang hendak menunaikan sembahyang jenazah jika dia bertayammum sebelum mayat yang hendak disembahyangkannya dimandikan.

Adapun bagi ibadat sunat yang tidak mempunyai waktu, seperti sembahyang sunat mutlak bolehlah dilakukan tayammum pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang ditegah melakukan sembahyang sunat.

8. Hendaklah tanah atau pasir yang digunakan untuk tayammum itu:

i. Mengandungi debu;

ii. suci lagi menyucikan;

iii. tidak musta‘mal, iaitu belum digunakan untuk mengangkat hadas atau mencuci kotoran;

iv. tidak bercampur dengan sesuatu seperti tepung, kapur, za‘faran (kumakuma) dan sebagainya.

9. Mempunyai maksud (qashd) memindahkan debu ke anggota tayammum.

10. Berusaha (berijtihad) mencari arah qiblat sebelum melakukan tayammum.

11. Melakukan tayammum setiap kali hendak melakukan sembahyang fardhu ataupun sembahyang yang wajib dengan sebab nazar.

Kesannya Terhadap Ibadat Sembahyang

Terdapat beberapa kesan yang timbul hasil daripada cara penyempurnaan wudhu’ yang telah dijelaskan terhadap ibadat sembahyang. Ini dapat dilihat melalui aspek berikut:

1. Aspek bilangan sembahyang yang dibenarkan:

Oleh sebab cara penyempurnaan wudhu’ dalam konteks ini melibatkan tayammum, maka yang dibenarkan bagi orang yang mempunyai keuzuran seperti ini hanya satu sembahyang fardhu sahaja. Akan tetapi dia dibolehkan mengerjakan sembahyang sunat walaupun lebih daripada satu sembahyang sunat.

  • Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==

Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain sedangkan wudhu’ dan tayammumnya masih belum terbatal, tidaklah perlu dia membasuh anggota wudhu’ dan menyapu balutan / plaster yang menutupi lukanya sekali lagi, kerana dia masih kekal suci. Cuma dia hanya wajib bertayammum, kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadah fardhu sahaja.

2. Aspek tuntutan mengulang / mengqadha’ sembahyang yang dilakukan:

i. Jika sekiranya anggota seseorang yang sakit atau luka itu tidak dibalut dengan sesuatu, lalu dia mengambil wudhu’ dengan membasuh bahagian yang tidak sakit, kemudian bertayammum sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka itu, maka tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyang yang telah dikerjakannya sepanjang dia mengalami keuzuran dan bersuci dengan cara demikian.

Melainkan jika sekiranya luka itu terdapat pada bahagian anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan dan tidak dapat menyapunya dengan debu ketika bertayammum kerana ditakuti akan memudaratkan, maka dalam hal ini wajiblah diulang/diqadha sembahyang apabila sembuh.

ii. Jika sekiranya anggota yang sakit atau luka itu dibalut atau berplaster, lalu dia mengambil wudhu’ dengan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit, menyapu balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit dengan air, kemudian bertayammum sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka itu, maka diwajibkan ke atasnya mengulangi/mengqadha sembahyang yang telah dikerjakannya sepanjang dia mengalami keuzuran dan bersuci dengan cara demikian, dalam tiga keadaan berikut:

a. Jika sekiranya pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian tertentu anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada ketika hendak memakai pembalut itu dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak, dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.

b. Pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian bukan daripada anggota tayammum, tetapi diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan berhadas, dan pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit, walaupun kerana keperluan untuk mengikat pembalut itu.

c. Jika sekiranya pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian bukan daripada anggota tayammum dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan.

Contoh Bagaimana Mempraktikkan

Bagi kemudahan memahami masalah yang kita bincangkan dibawakan beberapa contoh seperti berikut:

Contoh pertama:

Seseorang yang mengidap penyakit kulit atau luka pada tangan dan terpaksa diplaster atau dibalut dan tidak dapat membuka plaster atau pembalut tersebut kerana ditakuti akan melambatkannya sembuh daripada penyakit itu ataupun akan menyebabkannya terasa sakit jika dibuka, maka dalam hal ini bolehlah dia mengambil wudhu’ dengan cara berikut:

i. Pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu’ seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.

ii. Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak sakit, kemudian menyapu bahagian tangan yang sakit yang berplaster dengan air.

iii. Selepas itu bertayammum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakkan atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemudian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.

iv. Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian baru membasuh bahagian tangan yang tidak sakit, seterusnya menyapu bahagian tangan yang sakit yang berplaster dengan air.

v. Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.

Oleh kerana anggota yang sakit itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu’, maka terdapat kekurangan pada wudhu’ itu, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan plaster yang menutupinya. Tambahan pula tangan yang sakit itu merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu’) itu pun kurang. Oleh itu, hendaklah orang yang bersuci (berwudhu’) dengan cara demikian mengulang/mengqadha semua sembahyang yang dikerjakannya selama dia memakai plaster tersebut apabila sakit atau luka itu sudah sembuh.

Contoh kedua:

Seorang mengalami sakit kaki dan kakinya itu dibalut dengan plaster simen (bersimen) yang tidak boleh dibuka ketika hendak mengambil wudhu’. Maka dalam hal ini bolehlah dia mengambil wudhu’ dengan cara berikut:

i. Pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu’ sebagaimana biasa, iaitu dimulai dengan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua belah tangan dan menyapu kepala.

ii. Selepas itu membasuh bahagian kaki yang tidak bersimen (yang tidak sakit) sebagaimana biasa, kemudian menyapu plaster simen dengan air iaitu setakat bahagian kaki yang termasuk di dalam anggota wudhu’.

iii. Selepas itu barulah bertayammum iaitu menyapu muka dan kedua belah tangan dengan debu tanah sebagai ganti anggota kaki yang bersimen yang sukar untuk dibuka balutannya.

Dalam hal ini, hendaklah orang yang berwudhu’ dengan cara demikian mengulang/mengqadha semua sembahyangnya yang dikerjakannya selama dia memakai plaster simen tersebut, jika sekiranya ketika dia meletakkan plaster tersebut untuk membalut kakinya dia dalam keadaan berhadas.

Contoh ketiga:

Seorang yang mengidap penyakit kulit seperti kudis, kurap dan sebagainya pada bahagian tertentu di mukanya, tanpa ditampal dengan plaster, maka dalam hal ini bolehlah dia mengambil wudhu’ dengan cara berikut:

i. Pertama sekali, bolehlah dia bertayammum terlebih dahulu, iaitu menyapu muka dengan debu tanah termasuk pada bahagian yang sakit jika tidak memudaratkan. Jika ditakuti akan mendatangkan mudarat, tidak diwajibkan menyapu pada bahagian yang sakit. Kemudian menyapu kedua belah tangan dengan debu. Dengan demikian selesailah tayammum.

ii. Selepas bertayammum barulah membasuh bahagian muka yang tidak sakit. Apa yang mesti dilakukan ketika membasuh bahagian tersebut hendaklah dia berhati-hati, jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit kerana ditakuti akan memudaratkan, iaitu dengan cara meletakkan sehelai kain atau tuala yang basah di tepi bahagian yang kena sakit. Dengan titisan-titisan air daripada kain atau tuala tersebut akan terbasuhlah bahagian yang tidak sakit yang berada di tepi anggota yang sakit. Jika tidak mampu untuk melakukannya sendiri bolehlah dia meminta bantuan daripada orang lain.

Tidak diwajibkan menyapu dengan air pada bahagian yang sakit walaupun tidak memudaratkan jika disapu padanya. Akan tetapi disunatkan sahaja jika mahu melakukannya.

iii. Selesai membasuh muka disusuli pula dengan membasuh kedua belah tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua belah kaki. Maka dengan itu selesailah wudhu’.

Dalam hal ini, tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyang orang yang bersuci dengan cara demikian, jika sekiranya dia dapat menyapu bahagian muka yang sakit dengan debu tanah ketika bertayammum. Akan tetapi jika sekiranya dia tidak dapat menyapunya dengan debu tanah maka wajiblah diulang/diqadha sembahyangnya.

Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Sembuh

Seorang yang bersuci melalui kaedah yang telah diterangkan apabila sembuh daripada penyakit atau luka yang dihidapinya, hendaklah dia mengulangi atau mengqadha sembahyang yang telah dilakukannya sepanjang dia memakai plaster atau pembalut di badannya. Itu pun jika sekiranya dia tertakluk dalam keadaan yang mewajibkan dia mengulangi atau mengqadha sembahyangnya (sila rujuk keterangan yang telah lalu).

Di samping itu, jika sekiranya dia sembuh dan masih dalam keadaan suci daripada hadas kecil, maka batallah tayammumnya dan hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu. Itu pun jika anggota yang sakit itu termasuk dalam anggota wudhu’. Tidak perlu baginya memperbaharui wudhu’. Cuma yang mesti dilakukannya ialah membasuh, mulai dari bekas anggota yang sakit sehinggalah anggota- anggota wudhu’ seterusnya. Umpamanya, bekas anggota yang sakit itu ialah tangan, maka dia mulai membasuh dari tangan, kemudian menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki. Ini adalah disebabkan untuk memelihara tertib yang disyaratkan dalam wudhu’.

Begitulah cara mengambil wudhu’ dalam keadaan yang tidak mengizinkan seseorang menggunakan air untuk membasuh sesuatu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu’, disebabkan terkena penyakit atau luka, sepertimana mengikut pandangan mazhab Syafi‘e.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI

Menurut mazhab Maliki, bahawa orang yang mengidap penyakit kulit umpamanya, ataupun luka pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu’, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota tersebut boleh memudaratkan atau menyebabkan terasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dilakukannya ketika mengangkat hadas ialah:

i. Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

ii. Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu di atas ubat itu dengan air sekiranya tidak memudaratkan. Jika ditakuti memudaratkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

Adapun hukum sembahyang yang dikerjakan selama seseorang itu memakai plaster atau pembalut dengan sebab takut memudaratkan jika dibuka atau ditanggalkan, tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyangnya itu.

Oleh yang demikian, bagi orang yang mempunyai keuzuran sepertimana yang disebutkan di atas dan hendak mengikut mazhab Maliki bolehlah dia mengambil wudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ dalam mazhab Maliki.

Fardhu wudhu’ dalam mazhab Imam Malik ada tujuh perkara, iaitu:

i. Niat.

ii. Membasuh muka.

iii. Membasuh dua tangan serta dua siku.

iv. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).

v. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.

iv. Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain.

vii. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu’ yang dibasuh.

Contoh Praktikal

Bagi orang yang mempunyai keuzuran seperti di atas, umpamanya terdapat luka di bahagian tangan, yang hendak bertaqlîd atau mengikut mazhab Maliki maka dia boleh mengambil wudhu’ dengan cara seperti berikut:

i. Mula-mula hendaklah berniat dan membasuh muka sebagaimana biasa.

ii. Selepas itu membasuh dua tangan yang sihat, kemudian menyapu semua plaster atau pembalut yang membalut luka dengan air.

iii. Selepas itu menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).

iv. Kemudian membasuh dua kaki serta dua buku lali. Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu’ hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa ada bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu’. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu’ dalam mazhab Maliki.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Wudhu’ Dalam Mazhab Maliki

Selain daripada itu perlu juga diketahui dan difahami betul-betul perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab Maliki, kerana setengahnya mempunyai perbezaan dengan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab Syafi‘e. Menurut ulama mazhab Maliki, perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ adalah seperti berikut:

i. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubûl (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan angin.

ii. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Di antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara-suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu dari genggamannya.

iii. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara laki-laki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Akan tetapi mengucup pada mulut boleh membatalkan wudhu’ walaupun tanpa ada perasaan nikmat.

iv. Apabila seorang laki-laki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya atau tepi tangannya atau hujung jarinya, tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu’ seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).

v. Murtad.

vi. Merasa ragu setelah berwudhu’ adakah masih suci atau sudah batal, kecuali bagi orang yang mempunyai penyakit was-was.

Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Sembuh

Seorang yang bersuci melalui kaedah yang telah diterangkan apabila sembuh daripada penyakit atau luka yang dihidapinya, dan dia masih dalam keadaan suci daripada hadas, maka hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu dengan segera tanpa bertangguh, supaya tidak meluputkan rukun muwâlah yakni berturut-turut tanpa bertangguh.

BERTAQLID (BERPEGANG) KEPADA SELAIN MAZHAB SYAFI‘E

Bagi orang yang mempunyai kesulitan atau kesukaran untuk mempraktikkan apa yang menjadi tuntutan dalam mazhab Syafi‘e bolehlah dia mencari alternatif yang lain yang mudah baginya dengan bertaqlid kepada pandangan mazhab Hanafi atau Maliki atau Hanbali. Dengan syarat, hendaklah dia belajar dan memahami betul-betul perkara-perkara yang berkaitan dengan wudhu’ mengikut pandangan mazhab-mazhab yang disebutkan yang hendak diikutinya.

KESIMPULAN

Daripada perbincangan yang utarakan dapatlah disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:

1. Sakit bukanlah menjadi alasan untuk tidak mendirikan sembahyang disebabkan terdapat kesukaran untuk menyempurnakan thaharah (wudhu’) yang menjadi syarat sah ibadat sembahyang.

2. Orang-orang yang mempunyai keuzuran atau sakit pada anggota badannya diberikan jalan keluar oleh hukum Islam untuk menyempurnakan thaharahnya supaya mereka dapat sama-sama menjalani ibadat sepertimana orang biasa yang tidak mempunyai masalah.

3. Wudhu’ dan tayammum walaupun mempunyai perbezaan dari beberapa aspek tetapi mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain dalam penyempurnaan thaharah seseorang yang hendak melakukan ibadat seperti sembahyang, tawaf, membaca al-Qur’an dan sebagainya.

4. Mempelajari dan memahami dengan betul cara-cara menyempurnakan wudhu’ adalah dituntut demi menjamin kesahihan ibadat wudhu’ itu sendiri dan ibadat-ibadat yang menghendaki wudhu’ sebagai syarat sah.

5. Hukum Islam disyariatkan bukan setakat untuk menjaga maslahat atau kepentingan manusia di dunia tetapi juga untuk mencapai kebahagiaan dan kemenangan di Akhirat kelak.

Wallahu’alam….

HasnulHadiAhmad.Com

Comments on this entry are closed.

  • Sabri December 15, 2015, 9:11 pm

    Terima kasih..sgt membantu :)

Next post:

Previous post: