Pengertian Sembahyang
Pengertian sembahyang dari segi bahasa ialah berdoa untuk kebaikan. Dari segi syara’ pula ialah semua perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Ibadah sembahyang menjadi wajib kerana telah disabitkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama’. Firman Allah, “Oleh yang demikian dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang demikian sifat-Nya), Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi Pertolongan”.
(Al-Haj : 78)
Sejarah kewajipan sembahyang
Menurut pendapat yang masyhur dari kalangan ahli sejarah, ibadah sembahyang mula diwajibkan pada malam Isra’ iaitu 5 tahun sebelum Hijrah. Ibadah sembahyang menjadi fardu ‘ain (wajib) ke atas setiap mukallaf (berakal dan baligh). Sebuah hadis dari Anas beliau mengatakan, “Diwajibkan sembahyang ke atas Rasulullah pada malam Isra’ dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, “Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu sembahyang”.
(H.R. Ahmad & An-Nasa’ie)
Apabila seseorang kanak-kanak telah mencapai umur 7 tahun maka hendaklah di suruh melakukan sembahyang dan apabila ia mencapai umur 10 tahun maka hendaklah dipukul dengan tangan jika ia masih ingkar. Bersabda Rasulullah, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka”.
(H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)
Kewajipan melakukan ibadah sembahyang sehari semalam hanyalah 5 waktu dan kita sama sekali tidak boleh mempertikaikannya. Berpesan Rasulullah kepada Mu’az sebelum beliau diutuskan oleh Baginda ke Yaman, “Beritahulah kepada mereka bahawasanya Allah telah mewajibkan ke atas mereka 5 kali sembahyang dalam sehari semalam”.
Hikmah kewajipan sembahyang
Ibadah sembahyang adalah rukun Islam yag ke-2 selepas mengucap dua kalimah syahadah yang telah diperundangkan sebagai salah satu cara bagi umat mensyukuri dan berterima kasih kepada nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya kepada kita. Ibadah sembahyang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan terutama kepada agama. Individu dan masyarakat keseluruhannya.
Hikmah kepada agama
Ibadah sembahyang telah membentuk satu perhubungan di antara seseorang manusia dengan Tuhannya. Ia dilakukan untuk melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerahkan diri, jiwa raga serta segala urusan kehidupan harian kepada-Nya. Ibadah sembahyang juga dilakukan bagi mendapatkan keamanan, kedamaian, ketenangan dan keselamatan dari pencipta-Nya. Ibadah sembahyang juga membuka jalan kepada kejayaan dan kemenangan bagi mendapatkan pengampunan dari Tuhan di atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.
Firman Allah yang bermaksud, ‘Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan, ia (berasa) sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat bakhil, kecuali orang yang mengerjakan sembahyang’. (Al-Ma’rij : 19-22)
Bersabda Rasulullah, ‘Bagaimana pendapat kamu jika salah seorang di antara kamu mendapati di hadapan rumahnya ada sebatang sungai lalu ia mandi di sungai itu 5 kali dalam sehari. Apakah masih ada lagi kotoran pada badannya? Jawab sahabat, ‘Sudah tentu tiada lagi kotoran padanya’. Kata Rasulullah, ‘Maka demikianlah juga dengan sembahyang 5 waktu, Allah menghapuskan dengannya dosa-dosa itu’. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, ‘Apabila seseorang hamba bangun bersembahyang, dibawa dosa-dosanya dan diletakkan di atas kepalanya ataupun di tegkuknya, maka apabila setiap kali ia ruku atau sujud maka berguguranlah dosa itu daripadanya’. (H.R. Ibnu Hibban)
Hikmah kepada individu
Ibadah sembahyang yang dilakukan adalah untuk mendekatkan dan menghampirkan diri kepada Allah di samping dapat memperkuatkan semangat dan jiwa kita serta menjadi benteng kepada kerakusan dan keinginan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Ibadah sembahyang juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan kerehatan pada diri serta menjauhkan seseorang dari sifat lalai yang boleh memesongkan. Firman Allah, ‘Dan mintalah (pertolongan kepada Allah) dengan jalan sabar dan kerjakanlah sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk’. (Al-Baqarah : 45)
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Ibadah sembahyang juga melatih seseorang itu supaya lebih berdisplin dan bertanggungjawab serta sentiasa mengikut peraturan masa kerja dalam menjalankan urusan kehidupan seharian kerana ibadah sembahyang itu sendiri dilakukan pada waktu-waktu yang teratur dengan mengikut adab-adab dan rukunnya.
Dalam sembahyang seseorang itu dapat mempelajari perasaan lemah lembut dan rendah diri, bersopan dan berdisplin. Sembahyang juga dapat membentuk sifat dan peribadi seseorang supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, jujur, amanah, penyabar dan ikhlas. Firman Allah, ‘Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu (dapat) mencegah (kamu) dari melakukan perbuatan keji dan mungkar’. (Al ‘Ankabut : 45)
Hikmah kepada masyarakat
Ibadah sembahyang dapat memperkuatkan dan menyatukan aqidah setiap anggota masyarakat serta memperteguhkan jiwa mereke. Ibadah sembahyang juga dapat memperkuatkan semangat kemasyarakatan, menyuburkan ikatan tali persaudaraan, menyatukan suara fikiran dalam melaksanakan setiap pekerjaan atau aktiviti harian.
Hikmah sembahyang berjemaah
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya, ‘Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran’. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dalam hadis yang lain diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya, Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya ketika menunaikan sembahyang ialah orang paling jauh perjalanannya iaitu langkahnya menuju ke masjid. Seseorang yang menunggu untuk menunaikan sembahyang sehinggalah dia menunaikannya bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang menunaikan sembahyang (dahulu) kemudian dia terus tidur.’ (H.R. Bukhari & Muslim)
Sembahyang secara berjemaah adalah sangat dituntut oleh agama sama ada dengan mengerjakannya di rumah mahupun di masjid. Tetapi melakukan solat secara berjemaah di masjid adalah lebih mulia dan lebih besar fadilatnya dan ini amat digalakkan oleh Rasulullah sendiri seperti dalam hadis yang telah disebutkan di atas.
Dengan menunaikan sembahyang secara berjemaah sebenarnya kita telah memperteguhkan dan menyatukan diri kita dalam satu barisan, melatih diri untuk taat kepada keperluan umum dengan mengikut imam untuk menuju kepada matlamat yang satu serta kepada perkara-perkara yang diredai Allah. Sembahyang secara berjemaah juga dapat membantu kita untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain disamping mengeratkan hubungan tali silaturahim, membiasakan melibatkan diri dalam anggota masyarakat dan tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan.
Masjid dan surau adalah pusat bagi peyatuan dan kekuatan ummah, di sini kita saling nasihat menasihat dengan perkataan yang baik dan lemah lembut, memberikan kritikan yang membina, memperbaiki dan memperbetulkan kesalahan diri serta anggota masyarakat, membenteras penyelewengan dan kemungkaran, memberikan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim dalam melakukan gerak kerja seharian.
Hukum meninggalkan sembahyang
Para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa sesiapa yang ingkar kepada hukum wajib sembahyang, maka dia akan menjadi kafir dan dihukum murtad. Ini kerana kewajipanya telah disabitkan kepada dalil Al-Quran, Sunnah serta Ijma’ Ulama’. Hukum menunaikan sembahyang adalah wajib ke atas setiap muslim yang telah berakal, baligh dan berada dalam keadaan suci. Pengertian suci ialah tidak ketika datang haid atau nifas, tidak berada dalam keadaan gila atau pitam. Bagi sesiapa yang meninggalkannya kerana malas dan menganggapnya satu perkara remeh dan mudah serta sering meninggalkannya, maka dia akan digelar sebagai seorang yang fasik dan penderhaka. Bersabda Rasulullah, ‘Yang membezakan seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang’.
Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda, ‘Lima waktu sembahyang yang Allah wajibkan ke atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya dengan baik dengan tidak meringankan hak-Nya, maka Allah menjanjikan dia dimasukkan ke dalam syurga dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya, maka Allah tidak mempunyai janji dengannya. Jika Dia (Allah) mahu Dia akan menghukumnya dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuninya’. (H.R. Ahmad, Abu Daud & Al-Nasaei)
Firman Allah, ‘Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka? Jawab orang-orang yang bersalah, ‘Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang’. (Al-Mudassir : 42-43)
Bersabda Rasulullah, ‘Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka Allah dan Rasul-Nya tidak akan bertanggungjawab terhadapnya’. (H.R. Ahmad)
Wallahu’alam….