free tracking




≡ Menu

Perkara Membatalkan Ibadah Puasa

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

Juadah Di Bulan Ramadhan

IBADAH PUASA

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan sedang ia mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu .. (1)

Orang yang mengerjakan puasa – yang wajib dan yang sunat – selain daripada dituntut mengerjakannya berdasarkan ikhlas semata-mata, ia juga dituntut mengetahui hukum-hukum syarak mengenainya, kerana dengan itulah sahaja ia dapat menjaga diri dan mengawal hawa nafsunya daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya atau merosakkan pahalanya.

Menurut huraian ulama’ rahimahumullah, perkara-perkara yang membatalkan puasa terbahagi dua.

Pertama – yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja.

Kedua – yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan kifarat (denda).

________________________________

1. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dari Abu Sa’id al-Khudri r.a., (Ittihaf Ahl Al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 29).

________________________________

Yang Membatalkan Puasa Dan Diwajibkan Mengqadhanya Sahaja:

Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja ialah:

(1) Makan dengan sengaja,

(2) Minum dengan sengaja.

Jika orang yang sedang berpuasa, makan atau minum kerana lupa, maka itu tidak membatalkan puasanya.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

30- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa lupa semasa ia sedang berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, sebenarnya Allah jualah yang telah memberi makan dan minum kepadanya”.(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)

Demikian juga halnya perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, jika dilakukan dengan tidak sengaja, samada kerana lupa atau kerana dipaksa dan sebagainya (2), maka itu tidak membatalkan puasa.

Selain dan itu perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja seperti berikut:

(3) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja, sama ada melalui lubang telinga, lubang susu, lubang kemaluan dan sebagainya dan sama ada benda itu cair atau beku.

(4) Muntah dengan sengaja.

(5) Mengeluarkan mani dengan sengaja.

(6) Kedatangan haid.

(7) Nifas (beranak).

(8) Mabuk sepanjang hari.

(9) Pengsan sepanjang hari.

(10) Gila walau sekejap.

(11) Melakukan sesuatu yang membinasakan Islam – yang menyebabkan orang itu menjadi murtad, sama ada dengan tutur kata – pengakuan atau dengan amal perbuatan ataupun dengan cita-cita dan iktikad kepercayaan. (3)

______________________________

1. Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi (8:53).

2. Atau kerana ia jahil akan hukumnya, disebabkan ia baharu memeluk Islam, atau kerana tinggal di tempat yang terpencil dan jauh dari alim ulama’.

3. Perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad telah diterangkan dalam “Mastika Hadith” jil. pertama, hlm. 261.

_____________________________

Membatalkan Puasa Dan Mewajibkan Qadha dan Kifarat

Bahagian kedua pula ialah: Perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan membayar kifarat (denda), iaitu: Orang yang berpuasa yang bersetubuh dengan sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadhan.

Orang yang tergamak melakukan demikian, dikenakan hukuman yang berat, seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

31- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Semasa kami sedang duduk di sisi Nabi Muhammad s.a.w. , tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: “Ya Rasulullah, saya telah binasa, (tolong selamatkan saya). Baginda bertanya: “Apa halmu?” Ia menerangkan: “Saya telah bersetubuh dengan isteri saya semasa saya sedang berpuasa! ” Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau mempunyai seorang hamba abdi untuk engkau merdekakan?” Ia berkata: “Tiada.” Baginda bertanya lagi: “Sanggupkah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?” Ia berkata: “Tidak sanggup.” Lalu Baginda bertanya lagi: “Mampukah engkau memberi makan enam puluh orang miskin? ” Ia berkata: “Tidak mampu.” Rawi hadith ini (Abu Hurairah) berkata: Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. terhenti sebentar (daripada bertanya kepada orang itu), maka dalam masa kami sedang menunggu kesudahannya, tiba-tiba datang orang membawa kepada Baginda satu bakul besar buah tamar, lalu Baginda bersabda: “Mana orang yang bertanya tadi?” Mendengarkan itu, ia menjawab: “Saya” Baginda pun bersabda: “Ambillah (sebakul tamar) ini dan sedekahkanlah.”

Lelaki itu berkata: “(Tuan menyuruh saya sedekahkan tamar ini) kepada orang yang lebih miskin daripada saya, Ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada mana-mana keluarga di negeri Madinah ini yang lebih miskin daripada ahli keluargaku.

Rasulullah s.a.w. ketawa besar (mendengarnya)(1) kemudian Baginda bersabda: “(Kalau begitu) berilah tamar ini kepada keluargamu untuk dimakan.”(2)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Hadith ini diriwayatkan juga oleh Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam-imam ahli hadith yang lain termasuk – Tirmizi dan Tabrani.

Kandungan hadith ini menerangkan perihal seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. dalam keadaan cemas – “meminta fatwa” kepada Baginda kerana ia telah terdorong melakukan dosa besar (bersetubuh dengan isterinya semasa ia sedang berpuasa dalam bulan Ramadhan).

  • Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==

Baginda pun menerangkan hukum syarak mengenainya, iaitu hendaklah ia menebus dirinya daripada dosa itu dengan membayar denda (kifarah), dengan salah satu dan tiga cara seperti yang tersebut dalam hadith ini.

Mendengarkan fatwa yang demikian, orang itu merayu lagi dengan berkata: Bahawa – dari segi wang ringgit – ia tidak mampu (memerdekakan seorang hamba abdi atau memberi makan kepada enam puluh orang miskin). Dari segi tenaga pula ia juga tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut (mungkin kerana tuanya atau kerana kesihatannya).

Oleh kerana tidak ada jalan lain selain daripada membayar kifarat yang tersebut, maka Baginda terhenti sebentar daripada memberikan apa-apa arahan. (3)

Mujurnya tidak lama kemudian, datang orang membawa hadiah kepada Baginda – sebuah bakul besar berisi buah tamar Baginda pun menyuruh memanggil lelaki itu lalu diberikan sebakul buah tamar yang baharu diterimanya sambil bersabda: “Ambillah buah tamar ini dan sedekahkanlah (kepada orang-orang miskin).”

Oleh kerana keadaan hidupnya yang sangat-sangat mendesak (4), maka sebaik-baik sahaja ia mendengar Rasulullah s.a.w. menyuruhnya bersedekah dengan tamar itu kepada orang-orang miskin, berkatalah ia dengan penuh harapan: “Ya Rasulullah, demi Allah, tidak ada mana-mana keluarga di negeri Madinah ini yang lebih miskin daripada keluarga saya.”

Ketawa besar Baginda mendengarnya, melihatkan telatah orang itu menceritakan kisah dirinya dengan cara yang berterus terang dan berkesan, lalu bersabda: “(Kalau begitu), berilah buah tamar itu kepada keluarganya untuk di makan”.

Meskipun dalam hadith ini tidak diterangkan tentang denda (kifarat) itu wajib dibayar apabila ia mampu kelak, tetapi berdasarkan keterangan-keterangan yang lain, alim ulama’, rahimahumullah menghuraikan hukum “Orang yang berpuasa yang bersetubuh dengan sengaja pada waktu siang dalam bulan Ramadhan” seperti berikut:

Selain daripada diwajibkan mengqadha puasanya, hendaklah ia memerdekakan seorang hamba abdi. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak terdaya melakukannya, hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. (5)

Jika ia tidak mampu juga memberi makan enam puluh orang miskin maka ia tidak terlepas daripada menanggung ” kifarah” itu dan ia diwajibkan membayarnya apabila ia mampu kelak.

Hanya orang lelaki yang diwajibkan membayar “kifarah” disertakan dengan qadha sehari, sementara isteri yang disetubuhi tidak dikenakan kifarah tetapi diwajibkan mengqadha puasanya sahaja.(6)

_____________________________

1. Biasanya Baginda tersenyum sahaja jika ada sesuatu yang menyukakan hati, tetapi pada kali ini Baginda ketawa besar melihatkan cara orang itu yang pada mulanya datang mengadu dalam keadaan cemas tetapi setelah ia mendapat bantuan, datang beraninya meminta yang lain pula.

2. Fath Al-Bari (5:65).

3. Menurut sebuah hadith yang lain, Baginda menyuruhnya duduk menunggu.

4. Menurut sebuah hadith yang lain, ia mengaku: Bahawa kadang-kadang ia dan keluarganya tidak ada sesuatu yang hendak dimakan.

5. Tiap-tiap seorang miskin diberi secupak makanan.

6. Sabil al-Muhtadin (2:155) dan Al-Fath al-Rabbani (10:96).

_____________________________

Menjaga Diri Daripada Melakukan Perkara-Perkara Yang Merosakkan Pahala Puasanya

Orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut oleh syarak supaya menjaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan juga daripada setiap perkara yang merosakkan pahala puasanya.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

32- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kamu sedang berpuasa, maka janganlah ia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang menghamunnya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia (bersabar sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terang): Aku ini sedang berpuasa ..”. (1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Tujuan seseorang muslim dan muslimah diwajibkan oleh Allah Taala berpuasa dalam bulan Ramadhan ialah untuk mendidiknya sehingga ia dapat mencapai darjat “taqwa”, seperti yang ditegaskan di dalam al-Qur’an.(2)

Sedang maksud “taqwa” ialah mengerjakan apa yang disuruh (yang wajib dan yang sunat) dan mencegah diri daripada melakukan segala yang dilarang (yang haram dan yang makruh).

Sebab itu puasa yang sempurna dan diredhai Allah bukan setakat menahan diri daripada makan minum dan segala yang membatalkan puasa, tetapi hendaklah juga membendung segala anggota dan pancaindera daripada melakukan sesuatu yang merosakkan pahala puasanya, iaitu:

Lidah: Daripada menuturkan kata nista, umpat keji, berdusta dan sebagainya.

Mata: Daripada melihat segala yang dilarang syarak.

Telinga: Daripada mendengar segala yang ditegah syarak.

Tangan dan kaki: Daripada melakukan segala yang dimurkai Allah Azza wa Jalla.

________________________________

1. Nail al-Autar (4:219).

2. Ayat 183, Surah al-Baqarah.

________________________________

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

33- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”.(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

Yakni orang-orang yang bersifat demikian, sia-sia sahaja puasanya, kerana Allah Taala tidak memberikan sebarang penghargaan kepadanya, walaupun ia telah bersusah payah menanggung lapar dan dahaga.

______________________________

1. Ibanat Al-Ahkam (2:386), lafaz hadith ini riwayat Abu Daud.

______________________________

Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:

34- Dan Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Berapa banyak orang yang berpuasa, sedang ia tidak mendapat dari puasanya itu melainkan dahaga semata-mata dan berapa banyak pula orang yang mengerjakan sembahyang (sunat pada malam hari), sedang ia tidak mendapat dari sembahyangnya itu melainkan menyengkang mata – berjaga malam”.(1)

(Hadith: Riwayat Darimi)

______________________________

1. Misykat al-Masabih (1:628). Hadith ini isnadnya elok.

______________________________

Wallahu’alam….

Comments on this entry are closed.

  • Rina July 2, 2013, 8:37 am

    beberapa hari lagi akan menginjak bulan ramadhan dan seluruh umat muslim akan berpuasa
    artikelnya sangatlah beranfaat, terima kasih